sahabat Senyap

Thursday, July 14, 2011

Selamat Datang Dunia

Saya bukan orang senang. Saya datang dari keluarga susah, masa kecil-kecil dahulu kena tebalkan muka bila pergi sekolah, sebab apa? Duit belanja tidak ada. Bila rakan sekelas berpusu ke kantin bila loceng rehat berbunyi, saya ikat perut dalam kelas. Memang lapar, tapi hendak makan duit tidak ada.

Jadi nak tak nak saya kena bawa nasi lemak datang sekolah yang mak buatkan. Nasi lemak itu saya jual pada kawan-kawan, duit hasil jualan nasi lemak berkenaan boleh juga buat belanja untuk adik-adik.

Malu? Ya, saya memang sangat malu. Ada kawan-kawan lelaki yang suka usik saya. sakat saya. Tiap-tiap hari mereka kata saya bau busuk, hari-hari badan bau nasi lemak. Apa yang saya buat waktu tu? Saya hanya mampu menangis dan menangis. Nak buat macam mana, kalau saya tak bawa nasi lemak, duit saya tidak ada, mak ayah saya orang susah.

Tetapi bila sampai satu hari, Pengetua keluarkan arahan tidak benarkan murid-murid berniaga waktu sekolah, saya menangis lagi waktu itu. Kalau tak bawa nasi lemak, macam mana saya nak dapat duit? Ayah saya sakit, mak pula tak bekerja, cuma mampu buat nasi lemak dengan kuih sahaja tiap-tiap hari. Itu sahaja sumber pendapatan kami sekeluarga.

Alhamdulillah, walau dengan susah payah, penuh jerih. Saya akhirnya tamat sekolah menengah. Syukur ya Allah. Tapi bila tengok kawan-kawan yang lain sambung belajar ke universiti, saya juga teringin. Saya juga hendak belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Permohonan UPU saya hantar, dan kemudiannya satu lagi masalah yang datang. Saya diterima masuk ke UMS. Ya Allah, jauhnya. Keluarga saya tidak mampu. Sekali lagi saya menangis.

Dari sudut hujung bilik, aku terkedu. Terkedu bukan hanya pada ceritanya. Tapi semangatnya, dia cukup kuat. Walaupun setiap tutur kata dia diselang seli dengan esak tangis, namun dia masih bercerita dan bercerita hingga habis. Hinggakan bagi sesiapa yang berada dalam bilik itu rata-ratanya turut mengalirkan air mata. Tersentuh. Hurm. Sungguh, hati manusia itu sangat lembut.

Dan. Walaupun kita sentiasa akrab dengan kisah cerita kita saban hari. Maksud aku, apa yang kita lihat, kita dengar. Dugaan yang diterima kita. Berita gembira. Berita sedih. Ya, semua tentang kita. Cerita aku.

Cumanya, kadang2 buka mata. Lihat rakan-rakan yang lain. Mereka juga ada cerita mereka masing-masing. Dunia ini bukan hanya untuk kita sahaja. Bermasyarakatlah. Kikis sifat anti sosial jauh-jauh. Dan, selamat datang dunia.

p/s : I’m Amie. Umur dah makin meningkat.

Wednesday, July 06, 2011

Tutup Kes

Alhamdulillah.

Usai siapkan laporan lima muka surat, Simpan sebagai format PDF. Tutup fail. Selesai satu lagi kes. Hirup nafas lega.

Hurm. Lega ke? Entah la.

Belek2 dokumen atas tray. Ada kes conformance, gangguan seksual, curi barang, kilanan, absent, kedatangan, pemalsuan dokumen, kecuaian yang sudah dulu tutup kes. Cuma tinggal untuk direkodkan dan disimpan di dalam fail. Hujung bulan semua kes ini akan dibentangkan ke pihak pengurusan.

Dalam banyak2 kes, cuma satu kes ini sahaja yang buatkan saya rasa berbelah bahagi. Tidak tahu hendak jadi serius atau sarkastik. Tapi atas nama tugas, siasatan dalaman tetap juga diteruskan. Rumit hendak diulaskan, pendek kata memang benar pepatah melayu kita ada menyebut yang ‘cinta itu buta’.

Saya dibantu seorang rakan, diteman oleh seorang Pegawai Polis ketika mengambil keterangan daripada beberapa warga kerja yang terlibat disamping Tertuduh. Apa yang saya boleh gambarkan, Tertuduh seorang yang agak lurus bendul dan mudah terpengaruh. Kesalahan yang dilakukan ialah membawa senjata merbahaya dan cubaan untuk mengugut atau berbaur ancaman.

Puncanya? Cemburu buta. Berebutkan janda yang berumur 45 tahun. Oh ya, terlupa. Tertuduh hanya berumur 28 tahun. Yup. Betul.

Sepanjang siasatan dalaman, saya tidak terlampau tertekan. Sebab, kes ini mudah. Tidak rumit hendak jadikan prima fasie. Cuma hujah perlu betul2 kukuh untuk yakinkan Panel Perbicaraan Dalaman. Dan alhamdulillah, kes ini menang. Tertuduh didapati bersalah di atas tuduhan yang dikenakan.

Sepatutnya saya boleh tarik nafas lega. Ya, sepatutnya. Tapi, entah la.

Kadang2 terfikir, saya tidak kenal pun dia. Dia pun tidak kenal saya. Malah sepanjang perkenalan, dia nampak agak baik. Cuma tindakan dia yang didorong oleh pendek akal yang perangkapkan dia dalam situasi itu. Dan dia sangat2 menyesal.

Tapi. Kerja saya banyak dikaitkan dengan polisi2, kod etika, bukti2, dan semua2 itu boleh menjurus kepada penamatan perkhidmatan.

Pejam mata. Hurm. Kita ada undang2. Yup, keputusan sudah dibuat. Tidak perlu difikir2kan lagi. Tutup kes.

p/s : I’m Amiey. Sneak in my daily routine as Industrial Relations Officer.

Masih Menulis

‘Zam, kenapa kosong blog? Dah berhenti menulis ke?

Erm. Antara soalan biasa yang diterima dari kenalan rapat. Ketuk-ketuk kepala. Berhenti menulis? Pernah ke. Entah. Tidak pernah rasanya.

Blog. Mungkin sudah berhenti. Atau sekadar berehat sementara. ^ ^

Ah. Tapi ada ke yang peduli. Haha.

Buat kenalan yang bertanya. Saya tidak pernah berhenti menulis. Cuma tulisan saya sekarang lebih banyak menjurus kepada kertas-kertas kerja, memorandum, surat-surat rasmi, iklan-iklan, polisi-polisi dan sekarang sedang giat menyediakan laporan-laporan dan buku manual yang mana penerimanya adalah warga kerja di tempat saya berkhidmat. Betul, saya sudah tulis buku.

Ya. hidup saya sekarang lebih kepada kerja. Tugasan makin bertambah, tanggungjawab makin berat. Sehingga kadang-kadang kesihatan sendiri terabai. Dan dalam sibuk itu, ada juga hati yang terguris. Hurm, tiada siapa yang sempurna kan? Ah, itu cerita lain.

My point is. Writing is what I love to do the most. Tidak kisah macam mana jenis tulisan, sebab menulis adalah benda yang saya suka. Dan buat apa perlu berhenti dari buat benda yang kita suka. Yang kita sayang. Yang kita selesa. Kan? Peace dari Senyap.

Ah, rindu untuk tulis ‘trademark’ ni lagi. ^^

p/s : I’m Ami. Mungkin sudah tidak senyap lagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...