sahabat Senyap

Thursday, April 07, 2011

Suatu Ketika

Terasa muda semula bila menatap gambar di atas. Ketika masih mengenakan uniform sekolah. Penulis berada di barisan belakang paling kiri. Ya, ketika itu rambut disisir tengah. Skema kan? Dan, ketika ini penulis masih kurus! Haha. Sekarang bukannya gemuk, cuma kurang kurus.


Sudah berapa tahun ya? Ah, 8 tahun. 8 tahun. Bukan sedikit masa. Lagi 2 tahun genap satu dekad. Tapi bila menatap gambar ini, terasa seperti semalam penulis dan rakan sama-sama menuntut ilmu di Sek Men Teknik Jalan Stadium. Sama-sama bergelak ketawa di dalam Aspura. Sama-sama menghuni Dorm 7A bagi pelajar Kejuteraan Mekanikal. Sungguh, masa-masa yang semalam itu dirasakan sangat-sangat manis.


Sebagai penghuni asrama, tidak dapat tidak. Akan terkenang wajah-wajah warden aspura. Terbayang dengan libasan-libasan rotan mereka. Cadar jika tidak ditarik cekang, rotan. Tidur dalam waktu study di dalam dewan, rotan. Ada plastik coklat di kawasan asrama, rotan. Rakan kantoi ‘fly’, semua kena rotan. Pendek kata, walaupun bukan salah penulis, jika seorang yang buat kesalahan. Hukumannya semua kena rotan. Dan, dengan rotan itulah, penulis jadi ‘orang’.


Bila meneliti seorang demi seorang, spontan senyum penulis terukir. Senyum gembira. Ada di antara mereka sudah mendirikan rumah tangga. Dan ada juga yang sudah berstatus ibu dan bapa. Syukur alhamdulillah. Tak kurang juga ada yang sudah pegang jawatan yang boleh tahan tinggi, dan yang lainnya sudah di tahun akhir Ijazah Sarjana Muda. Masing-masing dah ‘menjadi’.


Suatu ketika yang pernah jadi catatan diari. Suatu ketika yang manis. Suatu ketika yang sentiasa melekat kejab dalam memori. Suatu ketika yang sangat dirindui. Suatu ketika yang semalam.


p/s : I’m Emi. Ada nickname keramat waktu di asrama.

Pain Killer Is My Dearest Friend Now

Lama juga termenung. Memandang setiap genap inci bilik, mengira saat demi minit hingga menjadi jam, dan kemudiannya muncul lagi satu hari yang baru. Hurmm, sekali lagi mengeluh panjang. Sudah masuk hari yang kesepuluh. Ya, sudah sepuluh hari berkeadaan begini. Masih terlantar.


Tak tahu hendak dimula dari mana. Lama sungguh tinggalkan blog. Hingga bila kembali mentitipkan jari menekan aksara-aksara di dada papan kekunci komputer riba pun sudah rasa janggal yang sungguh-sungguh. Bukannya janggal yang bagaimana, Cuma untuk menceritakan satu lagi entri seperti agak berkarat. Heh. Senyum sedikit.


Oh ya, termasuk yang ini. Sudah tiga kali terlibat dengan kemalangan jalan raya. Eh, empat kali. Yang awal, ketika sekolah rendah. Cuma tiga kali yang ini sahaja baru-baru ini. Apa yang boleh digambarkan, hanya teruk. Kali ini paling teruk. Sebabnya sebelum2 ini walaupun kena langgar, masih lagi boleh berdiri mengaduh sakit. Tapi giliran kali ini, langsung tidak sedarkan diri. Pengsan. Separa mati. Sedar2 sahaja sudah di katil hospital.


Tapi, walaupun terlantar. Meskipun perlu menahan sakit. Aku seharusnya bersyukur yang sangat-sangat kepada Nya, syukur kerna masih diberi peluang untuk masih bernafas seperti sekarang. Syukur, alhamdulillah. Terima kasih Tuhan. Terima kasih.


Dan terima kasih juga kerana dibukakan mata untuk mengenal siapa kawan dan siapa kenalan. Sungguh, kawan yang sebenar akan muncul bila kita di dalam kesusahan. Bukan hanya ada bila waktu kita senang sahaja. Untuk kawan-kawan yang berikan semangat, untuk kawan-kawan yang ada, aku hargai sangat-sangat. Kamu sahabat yang baik.


p/s : I’m Amie. Sudah beransur sembuh.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...