sahabat Senyap

Thursday, July 14, 2011

Selamat Datang Dunia

Saya bukan orang senang. Saya datang dari keluarga susah, masa kecil-kecil dahulu kena tebalkan muka bila pergi sekolah, sebab apa? Duit belanja tidak ada. Bila rakan sekelas berpusu ke kantin bila loceng rehat berbunyi, saya ikat perut dalam kelas. Memang lapar, tapi hendak makan duit tidak ada.

Jadi nak tak nak saya kena bawa nasi lemak datang sekolah yang mak buatkan. Nasi lemak itu saya jual pada kawan-kawan, duit hasil jualan nasi lemak berkenaan boleh juga buat belanja untuk adik-adik.

Malu? Ya, saya memang sangat malu. Ada kawan-kawan lelaki yang suka usik saya. sakat saya. Tiap-tiap hari mereka kata saya bau busuk, hari-hari badan bau nasi lemak. Apa yang saya buat waktu tu? Saya hanya mampu menangis dan menangis. Nak buat macam mana, kalau saya tak bawa nasi lemak, duit saya tidak ada, mak ayah saya orang susah.

Tetapi bila sampai satu hari, Pengetua keluarkan arahan tidak benarkan murid-murid berniaga waktu sekolah, saya menangis lagi waktu itu. Kalau tak bawa nasi lemak, macam mana saya nak dapat duit? Ayah saya sakit, mak pula tak bekerja, cuma mampu buat nasi lemak dengan kuih sahaja tiap-tiap hari. Itu sahaja sumber pendapatan kami sekeluarga.

Alhamdulillah, walau dengan susah payah, penuh jerih. Saya akhirnya tamat sekolah menengah. Syukur ya Allah. Tapi bila tengok kawan-kawan yang lain sambung belajar ke universiti, saya juga teringin. Saya juga hendak belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Permohonan UPU saya hantar, dan kemudiannya satu lagi masalah yang datang. Saya diterima masuk ke UMS. Ya Allah, jauhnya. Keluarga saya tidak mampu. Sekali lagi saya menangis.

Dari sudut hujung bilik, aku terkedu. Terkedu bukan hanya pada ceritanya. Tapi semangatnya, dia cukup kuat. Walaupun setiap tutur kata dia diselang seli dengan esak tangis, namun dia masih bercerita dan bercerita hingga habis. Hinggakan bagi sesiapa yang berada dalam bilik itu rata-ratanya turut mengalirkan air mata. Tersentuh. Hurm. Sungguh, hati manusia itu sangat lembut.

Dan. Walaupun kita sentiasa akrab dengan kisah cerita kita saban hari. Maksud aku, apa yang kita lihat, kita dengar. Dugaan yang diterima kita. Berita gembira. Berita sedih. Ya, semua tentang kita. Cerita aku.

Cumanya, kadang2 buka mata. Lihat rakan-rakan yang lain. Mereka juga ada cerita mereka masing-masing. Dunia ini bukan hanya untuk kita sahaja. Bermasyarakatlah. Kikis sifat anti sosial jauh-jauh. Dan, selamat datang dunia.

p/s : I’m Amie. Umur dah makin meningkat.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...