sahabat Senyap

Sunday, May 30, 2010

Salju Di Bumi Khatulistiwa

Aku menggenyeh2kan mata. Cuba untuk bangkit perlahan2. Tidak pasti sudah berapa jam aku terlena. Seingat2nya, sejurus selesai menunaikan fardhu Zuhur selepas menyiapkan beberapa kertas kerja di dada laptop tadi, aku terus merebahkan jasad ke tilam.

Sejenak, aku menarik nafas sebelum melepaskannya perlahan2. Berlunjur dan melakukan sedikit regangan. Bersenam. Kemudian perlahan2 aku bingkas, melangkah beberapa tapak sebelum menarik kerusi meja tulis dan duduk. Bayu waktu petang sesekali menerobos jendela menabrak pipi. Rasa nyaman.

Aku merenung kalendar meja di atas meja tulis. Bulan Mei hampir sampai ke penghujung. Hari ini sudah 30 hari bulan. Aku mencapai marker-pen dan memangkah angka tiga puluh pada kalendar tu. Ya, tinggal sehari sahaja lagi sebelum menjengah masuk ke Bulan yang baru. Bulan Jun. Tak sangka, kita kini sudah sampai ke pertengahan tahun 2010. Ah, pantasnya masa berlalu.

Kertas kerja yang bertaburan tadi pantas dikemaskan, disusun dan dimasukkan semula ke dalam fail. Masih ada tiga lagi kertas kerja yang perlu dilunaskan sebelum menjengah minggu pertama bulan Jun. Ah, sabar Emi sabar.

Semakin kurang aku menulis di sini. Tidak seperti tahun lepas, ada sahaja buah idea yang diluahkan. Buat pembaca yang masih lagi sudi singgah sini, aku hargai sangat2. Bagi yang tinggalkan komen, terima kasih ketat2. Komen kamu buatkan aku masih hendak menulis. Dan sebab kamu aku akan terus menulis lagi. Peace!

p/s : I’m Emi. Iron Man 2, IP Man 2, Robin Hood, Shrek Forever After, Prince Of Persia, Kick Ass, The Loser, The Bounty Hunter & Semerah Cinta Stilleto. Movie yang ditonton for May! Hehe. Heellleeww June.

Friday, May 28, 2010

Benarkan Aku Mengumpat

Sok sek sok sek. Akhir2 nie kerap benar tangan aku kena tarik. Selalu jugak telinga ni menadah kata2 tak puas hati kawan2, sumpah seranah pada si fulan. Reaksi aku? Heh. Layan jer. Sebab ada benarnya jugak kata mereka. Bila nak dikenangkan, mengumpat bergosip ni tak elok, bawa aib orang. Tak baik. Tapi bila difikirkan balik bagi kes ini, mengumpat seperti dibenarkan.

Seperti kata Hasan al-Basri; tiga golongan manusia yang boleh diumpat, iaitu mereka yang menurut hawa nafsu semata2, yang melakukan kefasikan secara terang2an dan pemimpin yang zalim. Aku juga petik kata2 Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’Ulumiddin. Yang menjelaskan terdapat situasi yang mengumpat dibolehkan.

Pertama, ia dibolehkan apabila seseorang itu dizalimi. Sesiapa yang dizalimi boleh mengadu tentang kezaliman yang menimpa dirinya kepada pihak berkuasa, misalnya sultan atau kadi.

Kedua, bila meminta pertolongan untuk mengubah kemungkaran. Contohnya, kalau ada kemungkaran berlaku di tempat kita. Kalau ada orang amal ajaran sesat ke, sumbang mahram ke, kita boleh hubungi atau lapor kepada pihak berkuasa – pejabat agama misalnya untuk mencegah benda mungkar tu.

Yang ketiga, apabila meminta fatwa. Semasa meminta hukum atau fatwa, keaiban dan kelemahan orang lain boleh disebutkan. Pada zaman Nabi, isteri Abu Sufyan yang bernama Hindun binti Utbah pernah datang bercerita kepada Nabi tentang suaminya yang kedekut. Jadi, perbuatan Hindun menceritakan keburukan suaminya tidak dianggap sebagai umpatan oleh Nabi. Malah Nabi pula bersabda kepada Hindun; Ambillah sesuatu yang mencukupi untuk dirimu dan anakmu secara makruf.

Yang keempat, mengumpat diharuskan apabila cuba menyedarkan masyarakat tentang sesuatu kemungkaran. Sebabnya, orang ramai perlu disedarkan dan diberitahu tentang bahaya atau kesesatan yang berlaku di sekeliling mereka. Contohnya, kalau kita tahu seseorang itu memang fasik, memang jahat. Kita kena beritahu orang lain yang si fulan tu fasik dan jahat supaya mereka terhindar daripada bahaya kefasikannya dan kejahatannya.

Yang kelima, ulama kata boleh mengumpat apabila kemaksiatan atau kemungkaran berlaku secara terang2an. Syariat mengizinkan pendedahan dilakukan kepada masyarakat bagi melahirkan kewaspadaan dan seterusnya pencegahan.

Dan merujuk kepada hal aku. Ya. Salah satu dari perkara di atas berlaku di tempat sini. Reaksi aku? Umpat jangan tak umpat. Haha.

Selamat menyambut hari Jumaat. (“,) Peace dari Senyap.

p/s : I’m Emiey. Aku suka dengar lagu Cerita Kedai Kopi. Heh. Tetiba jer.

Ibtila’ullah = Ujian Ilahi


“Allah tidak akan memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakankannya” – Ayat 286 Surah Al-Baqarah

Mafhumnya, Allah akan menguji seseorang itu berdasarkan kemampuannya, bersandarkan tahap keimanannya. Para Nabi dan Rasul pastinya lebih teruji malah tidak terkecuali orang awam. Jika imannya tinggi, maka lebih tinggilah tahap ujian yang akan diterima. Begitulah juga sebaliknya. Lantas aku ini di tahap mana? Rasanya ujian yang diterima walaupun agak berat bagi aku tetapi sangat jauh berbanding ujian Ilahi yang terpaksa dihadapi oleh para sahabat, sekalian Nabi dan Rasul. Maki cerca umpat keji adalah perkara biasa. Seksaan dan penjara sudah menjadi sunah perjuangan. Malah ada yang terkorban semata2 mempertahankan akidah suci.

Telapak tangan pantas menadah kata doa kepada-Nya.


“Ya Allah, janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya untuk memikulnya”

Rasa syukur dan insaf berbaur makin menyelinap di jiwa. Dewasa ini, cubaan yang menghambat dirasakan lebih ringan jika hendak dibandingkan dengan ikhtibar yang dilalui oleh sekalian Nabi dan Rasul dahulu. Sedangkan aku? Sekadar menghadapi serangan psikologi dan asakan demi asakan oleh “dia” yang kerap memanaskan jiwa dan hati. Sewajarnya aku lebih sabar menghadapi kerenah manusia seperti ini dan terus tekal.

Barangkali berat cubaan yang datang hinggap ini bukan datangnya dari aku. Mungkin apabila melihat seorang demi seorang sahabat aku masing2 terjelepuk dan mengalirkan air mata teresak2 semuanya hanya sebab tindakan “dia”. Mungkin itu yang buatkan aku sentiasa kusut sekarang. Ah. Doa orang2 yang teraniaya insyaAllah akan diperkenankan jika kita memintanya sungguh2. Sabar ya. Em, Peace dari Senyap.


p/s : I’m Ami. Nak layan movie Prince Of Persia. Jom! Hee.

Sunday, May 23, 2010

Tipikal Hari Minggu

Di luar, langit cerah macam biasa. Sukar mencari tompok2 awan yang akan membentuk hujan. Dan terik matahari terus menggigit di mana2.

Akhbar mingguan yang dibeli semasa keluar sebentar ke pasar pagi tadi dicapainya. Televisyen dibiar ditayangkan tanpa dia kisah untuk menonton. Tinggal dia sendirian di ruang tamu. Hendak tidur, bimbang terlajak ke waktu Asar. Walau seminit tertidur dalam waktu itu akan menyebabkan tubuhnya terasa kurang enak apabila bangkit. Fikiran juga buntu. Macam dungu selalunya.

Pernah juga dia mendengar orang2 tua berpesan, jika tidur dalam waktu Asar selama 40 hari berturut2 akan menyebabkan penyakit gila. Benar ataupun tidak, entahlah. Tuhan yang Maha Tahu.

Belek2 dada akhbar, terpapar cerita berkenaan artis rancangan realiti. Sekarang sudah berapa rancangan realiti yang ditayangkan. Jika hendak dicampur yang tempatan dan yang dari luar, tidak cukup sebelah jari tangan kalau hendak dikira.

Pertandingan ini dibuat menerusi SMS. Penonton di rumah yang menentukan siapa pemenangnya. Pandai menyanyi bukan tiket terbaik untuk menjadi pemenang, tetapi kepintaran memainkan sentimen dan menyuntik rasa simpati di hati penonton di rumah untuk mengundi.

Yang pandirnya orang kita. Sampai berbelas2 juta dihabiskan untuk mengundi peserta yang baru nak belajar menyanyi menerusi SMS. Bayangkan betapa untungnya pihak penganjur dan syarikat telekomunikasi. Dan akhirnya, artis mentah yang baru nak belajar pegang mikrofon dapat kereta mahal sebuah, dapat melancong ke Eropah dan macam2 hadiah lagi. Yang habiskan duit dengan SMS siang malam pagi petang langsung tak dapat apa2. Dapat dosa pula kerana membazir.

Inilah budaya hedonisme. Budaya mengagungkan hiburan dan keseronokan.

Bayangkan budak sekolah yang hafal sifir pun berterabur, mengaji Iqra’ pun terangkak2, tapi bila tanya tentang lirik lagu popular, semua dia tahu. Kalau lirik nasyid tu tahanlah juga, ini yang dihafalnya lagu hip hop yang guna bahasa rojak, yang kita tak tahu di mana hujung di mana pangkal.

Inilah budaya orang2 kafir yang ditiru oleh orang2 Islam tanpa mereka sedari akan bahayanya. Cuma pandangan dari dia yang masih cetek ilmu. Peace dari Senyap.

p/s : I’m Amiey. BTW, Faizal Tahir tetap the best. Haha. Dapatkan Adrenalin di pasaran sekarang.

Wednesday, May 19, 2010

Senyap vs Muhammad Zamzami

Beberapa hari ini, rasa ingin kembali menulis mula menebal. Mungkin ada isi yang ingin dicoretkan, yang mahu dikongsi bersama, atau memang menulis sudah menjadi sebahagian dalam jasad aku.

Aku kira, hari2 yang semalam banyak menzahirkan emosi dan perubahan watak dalam diri. Yang mana kesannya menuntut harga yang sangat mahal. Merentap kasar lukisan senyum aku. Buatkan aku lebih gemar menyendiri dan kurang bercakap. Ya, menjadi insan pendiam macam hari dulu.

Antara dua. Di antara tugas dan sahabat, kedua2 sama tinggi nilainya buat aku. Terkilan, serba salah, tak sanggup. Semuanya berkecamuk. Semuanya bilamana terpaksa mengendalikan satu kes salahlaku yang boleh dianggap berat melibatkan sahabat rapat sendiri. Sungguh, aku tak sampai hati. Kelu lidah bila perlu menarik dia untuk disoal siasat bagi tujuan siasatan dalaman. Berat hati bila terpaksa berpura2 untuk menjadi seorang yang serius dan tegas tika membicarakan dia. Sedangkan dalam hati menjerit2 meminta berhenti. Biar semua ini hanya sekadar gurauan kasar. Dan sungguh, hati jadi sakit bila terpaksa memberi Notis Penggantungan Perkhidmatan untuk dia.

Dia. Ya dia. Dia yang selalu setia menjadi pengiring aku. Dia yang sentiasa terbuka dengan cara aku. Dia yang bukan hanya berkongsi ketawa. Ah. Sehari dua ini, aku kerap dihimpit dengan kenangan2 semalam.

Tapi tugas ini yang menuntut begitu.

Kadang2 aku kira dalam jasad yang satu ini ada dua watak yang menghuni. Dan bagi kes ini, watak yang satu lagi itu lebih banyak menguasai. Tapi aku tahu, walau berapa banyak pun aku cuba menipu, aku kalah juga akhirnya. Sampai sekarang aku masih tak sangka di akhir sesi ketika dia menulis Surat Perletakan Jawatan di hadapan aku sambil tersedu menahan tangis. Watak yang satu lagi itu mula hadir.

Bila aku sedar, petang itu mata aku sudah bengkak!

p/s : I’m Amie. Kamu tahu dan aku tahu. Bagaimana dan Siapa. Ada hikmahnya. Noktah.

Monday, May 03, 2010

Sebab Tuhan Tahu Apa Yang Baik Buat Kita

Hati bergetar bila nama-Mu disebut, dialun dengan penuh rasa kusyuk. Meniti perlahan2 pada setiap gerakan kecil bibir, terkumat kamit menyebut kata puji pada-Mu. Alangkah sayu, pilunya rasa hati bila terkenangkan dosa-dosa lalu yang menggunung pada hari-hari yang semalam. Engkau bisa saja menghukumku, tapi sebaliknya Engkau hulurkan rahmat-Mu. Menggerakkan aku mencari taubat-Mu.

Kedua telapak tangan menadah tinggi mengusul bisik doa buat-Mu. Mengharap agar setiap kata doa itu diterima dan diperkenankan. Ya Allah. Engkau Tuhanku, tiada Tuhan melainkan Engkau. Engkau cinta Agungku. Dan Nabi Muhammad itu pesuruh-Mu.

Ya Allah. Engkau sumber bahagia, engkaulah sumber keselamatan, Engkau sumber keamanan. Engkaulah segalanya. Engkaulah perlindungku, dan Engkau jualah sumber rezekiku.

Ya Allah. Engkau cinta Agungku. Janganlah cintaku tidak dibalas. Jangan biarkanku tanpa pimpinan. Pimpinlah aku ke jalan yang benar, yang lurus Ya Allah. kepada Engkaulah harapanku. Janganlah hampakan perasaanku, jangan Engkau tinggalkan aku. Walau sesaat, atau yang lebih singkat dari itu… Sejenak, telapak tangan tadi meraup lembut ke serata muka. Yang kadang-kadang turut menyapu linangan jernih titisan insaf yang sama mengalir.

Sebab kita manusia, manusia yang tidak pernah akan sempurna. Berdoa kepada Tuhan adalah laksana samudera yang dapat mencapai setiap sudut pantai keperluan manusia.

Hendaklah sentiasa berdoa kerana doa itu menimbulkan ketenteraman jiwa, sedangkan ketenteraman jiwa itulah ubat yang paling mujarab. Ia membanteras kegelisahan dan memberi ketabahan serta percaya kepada diri sendiri. Doa pada umumnya memohon berkat, sebab hurm.. Ya. Tuhan itu tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya. Peace dari Senyap.


p/s : I’m Ami. Sekadar mencambahkan rasa senang dalam hati sendiri.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...