sahabat Senyap

Sunday, July 11, 2010

Seperti Biasa

Rutin pagi itu seperti biasa. Masih sejuk macam semalam, refleksi badan masih lagi malas. Rindu pada mimpi malam masih terngiang2. Rasa hangat diliputi selimut tebal masih lagi terbuai2. Tapi ah, kenapa deringan jam loceng harus mematikan semua rasa indah itu. Dan seperti biasa, satu lagi durasi remeh yang perlu aku lalui sebelum tiba di tempat kerja.

Masih gelap, pantas suis lampu ditekan. Dengan sekelip ruang ofis cerah dengan cahaya kalimantang. Seperti biasa juga, aku tiba awal lagi di pejabat. Suis PC dihidupkan. Buku nota dicapai dan pantas tangan kanan menulis beberapa nota di helaian buku. Seperti biasa, aku akan koordinat dan tentukan apa tugas yang hendak dilunaskan terlebih dahulu sebelum memulakan kerja.

Tiada apa yang lain, hanya macam biasa.

Tapi. Aku tahu dan aku perasan. Walau hari2 aku berlalu seperti biasa namun tidak dengan rakan yang lain. Satu persatu mereka pergi, membawa haluan kepada yang lebih baik atau terpaksa melangkah dengan langkah yang pasrah. Pasrah dengan situasi baru kini. Keadaan baru yang kadang2 menyesakkan. Em, tenang ya Yuza. Aku masih macam dulu. Ya, macam biasa. Kamu, tenang ya.

Petang itu, langit sedikit redup. Usai waktu pejabat, masing2 kami singgah di sebuah restoran. Agak istimewa hari itu, meraikan majlis Farewell buat Siti. Rakan kami. Tiba waktu malam, aktiviti santai. Karaoke ramai2. Sangat enjoy. Em. Sampai jumpa lagi ya Nur Amina. Siti Nur Amina. Adik abang.

Ya, mungkin esok akan ada sedikit lain. Tidak lagi seperti biasa. Barangkali aku akan rasa sikit kosong. Rindu dengan kelibat rakan. Tapi aku tahu, lambat laun, yang lain ini juga akan bertukar seperti rutin biasa.

p/s : I’m Emi. Perpisahan yang lama, mengubah seorang teman.

Saturday, July 03, 2010

Encik Kaunselor

Sebagaimana kita menutup mata mereka yang meninggal dunia dengan perlahan2, maka kita juga perlu membuka mata mereka yang hidup, secara perlahan2. Kata mutiara yang aku genggam. Melalui tadahan ilmu dan takungan pengalaman, insyaAllah. Tuhan akan tunjukkan jalan.

Aku senang bila terlibat dengan program2 seperti ini. Penghulu hari yang lepas; Jumaat, aku dan rakan yang lain berkesempatan menganjurkan program ‘Sehari Bersama Divisyen HR’ untuk pekerja2 operator. Pengisian yang agak bermakna, lebih memberi fokus kepada motivasi pekerja. Dan aku banyak tersenyum hari itu. 

Rata2 yang hadir, aku kira masing2 mereka puas. Sebab sepanjang sesi, aku lihat mereka galak ketawa sedangkan pada permulaannya masing2 membisu. Takut mungkin, atau kosong? Entah. Ada yang takut2, ada yang menonjol, tak kurang juga ada yang hanya telus menjadi pemerhati.

Aku ditempatkan dengan empat operator lagi di dalam satu kumpulan. Bila mereka tahu aku pernah conduct kaunseling sebelum ini. Ada 2 3 pekerja yang datang meluahkan masalah dan perlu pandangan. Reaksi aku? ‘Alamak’. Hum. Tapi sudah namanya tugas, ‘Encik Kaunselor’ gelaran yang seorang reader beri; Ada. Layan jer. Haha.

Aku satu dua cerita motivasi berdasarkan pembacaan dan pengalaman diri yang aku kongsikan bersama ahli kumpulan itu. Rumusan. Apa yang penting, minda kena sentiasa positif. Masalah itu biasa dalam hidup, kalau dalam hidup kita langsung tiada masalah. Ya, ada satu masalah kat situ. Dan jangan takut! Sebab rasa takut membuatkan orang percaya kepada hal2 yang paling buruk.

‘Jangan takut dengan bayang2, ia hanya petunjuk bahawa ada cahaya berdekatan.’ Peace dari Senyap.

p/s : I’m Amiey. Hidup itu ada karma. What’s goes around come around.

Sunday, June 27, 2010

Rindu Lekas Bersemarak

Kedukaan itu sedikit berkurangan, tapi aku pasti ia akan datang kembali. Keluh kesah begini, sering datang dan pergi. Kadangkala terasa juga mahu menyumpah seranah, malah sesekali terdetik juga rasa sesal lantaran terlanjur menjalin tautan hati dan mengimpikan hari bahagia.

Tapi aku harus sedar, itu karat mazmumah yang masih berkarat di jiwa. Sebagai seorang muslim, aku wajib yakin, segala2nya ditentukan Allah. Mulai sekarang aku mesti belajar menerima hakikat pertemuan dan perpisahan. Ada hikmahnya, ada rahsianya. Cuma manusia kadangkala menjadi tidak sabar dan sering bertindak menurut nafsu dan perasaan. Aku menggenggam kata2 itu. Malah tiada sekelumit pun rasa dendam dan sakit hati yang tersisa. Namun, fitrah manusia adakalanya tewas dengan pukulan perasaan.

Ada rasa pilu melonjak2. Ada sendu yang meronta2 mahu keluar. Ada ngilu yang menujah2 kalbu. Namun aku cuba bertahan dan lekas mewajarkan; ajal maut jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Hati, tabahlah. Fitrah, sabarlah.

Pergi kamu pergi. Pergilah sejauh2nya. Perlu apa lagi singgah, jika persinggahan hanya sekadar menyakiti. Ini keputusan kamu. Kadang2, bila diimbas semula. Ia semuanya atas keputusan kamu. Hum. Cukuplah. Sudahlah.

p/s : I’m Amie. Alahai. Aduhai. Aduyai.

Saturday, June 26, 2010

Nipponggawa Taihen Omoshiroidesu

Ada masa aku sangat cemburu dengan rakan yang begitu fasih berbahasa Jepun. Lancar sahaja sebutan. Bila ditanya, sukar atau tidak untuk dipelajari. Kata mereka, sebenarnya ia sangat mudah. Betul? Ah. Tiada komen. Tapi yang aku maklum, awal bulan Julai, akan ada Kelas Bahasa Jepun di tempat sini.

Ada masa itu, aku geli hati bila mendengar cerita2 rakan yang pernah ke Negara Matahari Terbit sana. Kenangan berada di tempat orang. Sangat manis. Tentang makanan satu hal, adat, cara hidup yang asing. Waktu mandi perlu kongsi bilik air, dan the best part is. Dilarang memakai apa2 salinan. Ya, berbogel. Kau tengok aku, aku tengok kau. Haha. Ketawa besar aku waktu itu. Tapi kata mereka, itu pengalaman.

Ada juga ketika aku terpegun. Melihat keindahan di sana melalui foto2 yang dirakamkan rakan. Cantik. Hati berbisik. Sebab di sana ada empat musim. Musim sejuk, panas, bunga, luruh. Di Malaysia sini. Panas. Hujan. Panas. Hujan. Hujan. Hujan.. Dan ya. Em. Hujan. Tapi, aku suka hujan. Jadi, Malaysia tetap kejab di hati.

Yang aku tahu kini, sedikit masa nanti Negara Matahari Terbit itu akan menerima kunjungan sekali lagi. Ya, sikit sahaja masa lagi. Dan bila sampai masa itu, barangkali segala pengalaman yang diluahkan tadi akan menjadi pengalaman peribadi sendiri.

Insentifnya juga menarik, selain berpeluang berada di tempat orang. Kos pengangkutan, penginapan, segalanya ditaja. Bahkan gaji bulanan di Malaysia tetap berjalan macam biasa, malah pembayaran gaji bulanan di Jepun pula akan dibayar dengan mata wang Yen. Hum. Beberapa hari sahaja lagi. Tik Tok Tik Tok - Peace dari Senyap.

p/s : I’m Emi. Awek Jepun comel2. Hehe.

Besarnya Makna Doa Yang Kita Lupakan

Tuhanku, ampuni aku. Sayangi aku. Tutuplah aib2ku. Angkatlah darjatku. Berilah aku rezeki. Berilah aku petunjuk. Sihatkan aku. Maafkan aku.

Tanpa sedar. Setiap hari kita memohonnya di dalam solat. Tapi sayang, kita hanya memohon tanpa memahami apa erti maksudnya.. Sekadar terluah di bait bibir, namun tidak tersentuh dari hati kita selama ini.

Ketika duduk di antara dua sujud semasa solat.. Hayatilah. Fahami bisik doa itu. Dengan rendah hati nyatakanlah permohonan ampun kepada Allah.

Rabbighfirli (Tuhanku, ampuni aku)

Diam sejenak. Buka dada dan diri untuk menerima ampunan dari Allah. Seperti kita membuka diri ketika merasakan angin sepoi atau menerima curahan air hujan ketika kita masih kecil.

Tetaplah membuka diri kita untuk menerima ampunan Allah. Ulangi permintaan itu beberapa kali hingga kita merasakan ketenangan. Kemudian, sampaikanlah permintaan kedua.

Warhamni (Sayangi aku)

Diam dan tundukkanlah diri kita untuk menerima kasih sayang Allah yang tak terhitung besarnya. Bukalah dada kita luas2 agar semakin banyak kasih sayang Allah yang tak terhitung besarnya itu tumpah. Biar meruah.

Ulanglah beberapa kali hingga kita merasa cukup. Berturut2 sampaikanlah permintaan2 berikut dengan cara sebagaimana tersebut di atas, satu persatu..

Wajburnii (Tutuplah aib-aibku)

Warfa’nii (Angkatlah darjatku)

Wahdinii (Berilah aku petunjuk)

Wa’Aafinii (Sihatkan aku)

Wa’fuannii (Maafkan aku)

Setelah selesai, diamlah sejenak. Lalu panjatkan rasa syukur. Betapa besarnya nilai sebuah doa ini.. Sebuah doa yang kita hanya lewatkan begitu sahaja.. Dalam tidak sedar selama ini kita seperti sedang berpura2 memohon sesuatu, tetapi hati? Antara tidak dan mahu. Pantaslah Allah perlakukan kita begitu.

Ya Allah. Sedarkanlah kami yang selalu lupa dan alpa ini. Ampunkanlah dosa kami. Sempurnakanlah doa kami.. Ameen..

Salam ukhwah dari Senyap.

p/s : I’m Amie. Sharing is Caring.

Sembang Kosong

Sekilas aku pandang jam tangan jenama Casio di lengan kiri. Ah, baru 1.23 petang. Waktu ini, aku dan teman yang lain akan berkumpul di meja Kafeteria. Selalunya, waktu tengahari begini, aku hanya ambil buah2an sebagai kudapan dan segelas air. Itu sudah memadai.

Di meja itu, semuanya teman satu Divisyen. Divisyen Sumber Manusia. Masa inilah kami sempat hendak berkumpul pun. Ada Lieza dari Bahagian Training, Rosdi dan Dina dari Admin, aku dari Industrial Relation dan dua pelajar praktikal. Siti dan Syeila. Waktu ini Hayati tiada. Puasa katanya. Hayati di Bahagian Manpower & Recruitment. Um, rakan satu kuliah aku dulu. Tak sangka kami kini rakan sekerja. Em. Dunia ini sederhana kecil.

Sedang kami rancak berbual, bertelagah ketawa. Encik Azhar datang. Bercerita dengan orang yang lebih emas ini bagi kami amat bermakna. Sebab mereka kaya dengan pengalaman. Sedikit hendak dikongsi, berkenaan projek sampingan beliau.

Bermula dengan membeli dua kereta secara ansurans, dia jadikan sebagai kereta sewa. Dari situ, dia kini dapat buka perniagaan menjual pakaian Muslim dan beberapa cabang perniagaan lagi. Dari perniagaan sedia ada, diperluaskan dengan memasarkannya secara online. Hasilnya. Fuh. Cemburu amat kami. Pelanggannya bukan sahaja di Malaysia, malah menjangkau ke luar Negara yang membuat tempahan.

Beliau juga merupakan peminat Matematik dan Fizik. Jika ada masa terluang, dia akan menjawab soalan2 matematik tahun2 lepas. Dari hobi itu, ada Sekolah2 yang mula meminta beliau merangka dan buat soalan peperiksaan pelajar2 menengah rendah. Satu kertas soalan sama dengan empat digit bayaran. Ah, jeles gila kami. Beritahu dia, selepas ini dia akan buka satu pusat Tuisyen pula. InsyaAllah.

Minat, berani dan tekal menanggung risiko. Itu yang dapat aku rumuskan. Yang aku jelas selepas itu, masing2 kami sudah mula merangka sesuatu. Hum.

p/s : I’m Amih. Orang Senyap Empire. Nama dah ada. Hehe. Angan2.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...