sahabat Senyap

Thursday, October 20, 2011

Rindu

Kali pertama memandu jarak jauh yang memakan masa dalam 8 jam perjalanan memang satu pengalaman yang sangat letih. Tapi, bila hati disogokkan dengan upacara gembira yang akan berlangsung, sedaya upaya dia cuba singkirkan rasa lesu itu dan cuba untuk senyum sepanjang perjalanan.

Dalam kotak kereta, cuma ada Ma, dia dan dua lagi adik. Ma di sebelah tak henti-henti berceloteh. Cuba hendak pastikan dia tidak terlelap ketika memandu. Hingga kadang-kadang apa yang dibutirkan Ma macam masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Adik di tempat duduk belakang ada yang terlelap, ada juga hanya melayan lagu di corong radio yang sesekali menjerit-jerit seorang diri.

Lebih kurang jam 2.34 petang. Dia selamat sampai ke bumi Pantai Timur. Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah, kami selamat sampai ke destinasi tanpa ada apa-apa aral.

Jejak kaki di tempat orang. Suasana lain. Persekitarannya juga lain. Dan paling ketara ialah dialek Pantai Timur yang ditutur oleh jelatanya. Senyum. Kadang-kadang terlintas juga di kotak fikiran dia. Dari mana wujudnya dialek yang berbeza-beza di setiap negeri jika yang penghuninya juga sama-sama Melayu. Tak kisahlah, lagipun itu yang buatkan Malaysia sebuah negara yang unik, semangat muhibah yang tinggi. 1 Malaysia, bak kata Perdana Menteri.

Dia sempat menghabiskan masa selama 4 hari di bumi Kelantan. Melangsungkan majlis pernikahan dan majlis persandingan dua orang sepupu. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Mungkin cerita persandingan mereka akan penulis kisahkan di lain entri. 4 hari. 4 hari yang sangat bermakna. Pengisian yang sangat-sangat menyenangkan.

Dia tahu. Dia akan mula rindukan negeri itu. Suasananya. Persekitarannya. Dan dapat bertutur dalam dialek Pantai Timur tanpa ada orang ketawa juga merupakan satu pengalaman yang sangat dirindu.

Tunggu. Lepas ini dia akan datang semula. Sebab hati macam sudah ditinggalkan di sana.

Saturday, September 24, 2011

Mengeliat

Terjaga dari tidur bila suhu dingin datang hinggap, meratah-ratah ke segenap tubuh. Perlahan-lahan dia meraba selimut yang entah ke mana hilangnya. Sejuk. Bila diri sudah separa sedar, telinga mula menangkap bunyi-bunyi air mencurah-curah ke lantai bumbung rumah. Sekejap-sekejap bunyi guruh berdentum dan diiringi dengan cahaya kilat. Ah, hujan. Spontan, tarikan selimut mula jadi lebih kuat, lebih erat. Menghimpun rasa suam. Nikmat.

Hendak bangun dari tidur yang selesa memang sungguh payah. Lebih-lebih lagi bila tahu pagi itu perlu menghadap satu lagi hari bekerja. Walaupun bunyi jam penggera sudah beberapa kali menjerit, tetapi dia masih culas dalam dakapan selimut suam. Masih betah menyambung mimpi bersama bidadari-bidadari langit. Senyum.

Bangun.

Ketika memandu menuju ke pejabat, angin dari corong penghawa dingin kereta menderu2 memuntahkan suhu sejuk. Cepat-cepat dia sarungkan tubuh dengan baju tebal sebelum mematikan fungsi penghawa dingin. Menggigil. Tangan kiri sedaya upaya mendakap tubuh sambil tangan kanan kejap mengawal stereng. Dongak atas. Lantai langit sudah mula kurang hitam. Terbias dek cahaya matahari muda. Bisik dalam hati. Cantik.

Dari kaca cermin dia dapat lihat ada pelajar lengkap beruniform sekolah sedang termangu2 menunggu bas. Selisih pula dengan bapa membonceng anak-anak ke sekolah. Tidak ada helmet. Lampu motosikal juga ada yang sudah rosak. Hurm, mungkin mereka bukan orang senang. Berfikir yang baik2. Termenung. Dia juga pernah berada di tempat yang sama dahulu. Bangun awal-awal pagi menunggu bas di tepi jalan. Dan pernah juga menunggang motosikal walaupun dalam hujan. Ah. Dulu.

Harapnya hari ini segalanya berjalan dengan lancar. Lebih baik dari semalam.

InsyaAllah. Minta yang sungguh-sungguh.

p/s : I’m Emi. Satu hari yang lain.

Friday, August 12, 2011

Rakan Pena

Dengan pembangunan laman sosial yang kian pesat, barangkali istilah rakan pena akan kedengaran sangat tradisional. Sungguh semalam. Sebab sekarang semuanya pantas, tak perlu hendak tunggu dua ke tiga minggu hanya untuk mendapat jawapan kepada ‘Apa khabar?’.

Tapi, tidak boleh tidak, perasaan menulis surat, menghantar poskad ini kadang2 lebih bermakna daripada menghantar satu khidmat pesanan ringkas atau menghantar komen menerusi Wall muka buku. Lebih teruja.

Dari sekeping kertas putih dan sebatang pena bola jugalah penulis mula kenal rakan-rakan yang sangat hebat. Sebelum aktif menulis blog, hobi penulis suka menulis kepada rakan-rakan baru. Ya, itu dulu. Sekarang tidak lagi. Tapi, syukur sangat disebabkan hobi suka-suka dulu, penulis dapat kenal rakan yang kekal jadi sahabat baik penulis sampai sekarang. Alhamdulillah.

Tapi dalam kalangan rakan pena, ada seorang yang kekal misteri sampai sekarang. Penulis sendiri tidak kenal orangnya, Mula terima surat daripada dia sejak tahun 2007 hingga hari ini. Terus terang, penulis masih berteka teki dari mana dia dapat alamat penulis, dari mana dia tahu panggilan yang kenalan panggil pada penulis waktu kecil. Dan dalam setiap warkah tulisannya, dia akan sertakan sedikit cenderahati yang dibuatnya sendiri. Lihat alamat terakhirnya, Negeri Sembilan. Yang mana buatkan penulis lagi tertanya-tanya. Penulis langsung tiada kenalan di negeri itu.

Biarlah. Dalam ramai-ramai kenalan pena, hanya seorang sahaja yang dapat berpeluang bertemu muka ke muka. Adik angkat penulis sendiri, Ima. Harapnya, ya! Harap yang sungguh-sungguh. Dapat berjumpa dengan yang lain-lain pula, terutamanya yang misteri itu. ^ ^

Hurm. Dia dan sebatang pena bola.

p/s : I’m Ami. Ayik.

Dejavu

Tahun 2006

Tahun ini penulis masih lagi menuntut di sebuah IPT di Penang. Waktu cuti semester, penulis cuba untuk mohon jalankan praktikal di dalam sebuah syarikat swasta, untuk pengisian waktu cuti semester dan dalam masa yang sama, kumpul pengalaman. Alhamdulillah. Penulis diterima. Dan itu kali pertama penulis kenal seorang kenalan ini. Kebetulan penulis ditempatkan dalam satu Jabatan yang sama dengan dia.

Tahun 2008

Tahun ini penulis baru tamat belajar, hantar resume pada syarikat swasta yang sebelum ini penulis jalankan praktikal. Alhamdulillah, kebetulan memang ada kekosongan dan penulis tidak melalui jalan yang susah untuk mula kerja di situ. Dan secara rasminya, penulis dengan kenalan itu jadi rakan sekerja, dan rakan satu Jabatan. Secara jujur, penulis tidak begitu rapat dengan dia, masing-masing buat hal sendiri.

Tahun 2009

Tahun ini penulis ditukarkan Seksyen, mula dapat kepercayaan untuk pegang port folio sendiri. Alhamdulillah, bos banyak beri tunjuk ajar masa ini. Kami dah jadi macam kawan rapat. Tahun ini, penulis dengan rakan itu dah mula makin akrab. Enam bulan berikutnya, penulis dinaikkan pangkat.

Tahun 2011

Tahun ini deskripsi tugas penulis sudah makin besar. Alhamdulillah, sudah diberi pembantu. Minggu ini penulis perlu berhadapan dengan rakan penulis yang satu itu. Berhadapan yang macam mana? Rakan berkenaan telah diberi surat penggantungan kerja dan akan dibicarakan. Pegawai Pendakwanya. Penulis sendiri. Memang berat. Hendak lawan kawan sendiri. Risau juga sekiranya ditakdirkan rakan tadi hilang kerja disebabkan penulis. Dia ada anak, dia ada isteri.

Hurm. Macam dejavu. Sebelum ini juga pernah dapat kes melibatkan kawan sendiri. Tapi sebelum ini penulis masih mentah, lepas kawan itu diberhentikan. Sedar sahaja, mata penulis sudah bengkak-bengkak. Tak boleh terima hakikat.

Harapnya, kali ini penulis akan jadi lebih kuat. Kena lebih tegas.

Ya Allah. Mudah-mudahan.

p/s : I’m Ami. Profesionalisma.

Macam Semalam

Sama seperti hari semalam.

Rutin masih lagi mengetuk-ngetuk papan kekunci macam selalu, sekejap2 siapkan laporan, sekejap2 belek pinda semula SOP yang hendak didaftarkan ISO, sekejap2 mengadap berkajang2 surat rasmi, sekejap2 yang sama. Sama macam semalam.

Jemu? Muak? Entah, lebih suka dari jelik. Mungkin minat menulis yang sudah semulajadi. Tapi tipu kalau kata tidak bosan. Memang secubit rasa itu ada juga melekat. Memang diakui, tidak boleh lari.

Baru terima surat kenaikan gaji. Alhamdulillah, rezeki tahun baru. Pertengahan Ogos atau pertengahan Ramadhan terima duit raya pula. Syukur. Boleh menyimpan lebih sedikit, buat belanja kenduri kahwin. ^ ^

Tapi bila tu, masih kabur lagi. Calon pun on off. Hurm. T T

Pagi tadi semasa menulis Memorandum Pentadbiran untuk edaran dalaman Syarikat bagi kuatkuasa masa kerja waktu bulan Ramadhan, tiba2 rasa macam sekejap sangat masa berlalu. Sekejap yang sungguh2. Sedar2 saja sudah sampai penghujung bulan Julai, esok lusa dah masuk Ogos. Dah mula puasa. Puasa yang lepas pun masih ada berbaki yang belum diganti. Gara2 insiden kemalangan minggu akhir Ramadhan tahun lepas. Alahai. Detik hitam. Kalau boleh tak mahu ingat lagi.

Masa menulis entri ni, terfikir juga. Masih ada lagi ke yang baca blog Silent Melody ni. Haha. Entah. Sudah lama sangat tidak aktif, masa senggang tu dah sangat2 singkat. Tapi yang pasti aku masih lagi macam dulu. Akan sentiasa menitipkan entri jika ada masa terluang. Masih sama macam hari-hari yang semalam.

Masih lagi Mr Silent.

p/s : I’m Ami. Terus menulis. Always.

Thursday, July 14, 2011

Selamat Datang Dunia

Saya bukan orang senang. Saya datang dari keluarga susah, masa kecil-kecil dahulu kena tebalkan muka bila pergi sekolah, sebab apa? Duit belanja tidak ada. Bila rakan sekelas berpusu ke kantin bila loceng rehat berbunyi, saya ikat perut dalam kelas. Memang lapar, tapi hendak makan duit tidak ada.

Jadi nak tak nak saya kena bawa nasi lemak datang sekolah yang mak buatkan. Nasi lemak itu saya jual pada kawan-kawan, duit hasil jualan nasi lemak berkenaan boleh juga buat belanja untuk adik-adik.

Malu? Ya, saya memang sangat malu. Ada kawan-kawan lelaki yang suka usik saya. sakat saya. Tiap-tiap hari mereka kata saya bau busuk, hari-hari badan bau nasi lemak. Apa yang saya buat waktu tu? Saya hanya mampu menangis dan menangis. Nak buat macam mana, kalau saya tak bawa nasi lemak, duit saya tidak ada, mak ayah saya orang susah.

Tetapi bila sampai satu hari, Pengetua keluarkan arahan tidak benarkan murid-murid berniaga waktu sekolah, saya menangis lagi waktu itu. Kalau tak bawa nasi lemak, macam mana saya nak dapat duit? Ayah saya sakit, mak pula tak bekerja, cuma mampu buat nasi lemak dengan kuih sahaja tiap-tiap hari. Itu sahaja sumber pendapatan kami sekeluarga.

Alhamdulillah, walau dengan susah payah, penuh jerih. Saya akhirnya tamat sekolah menengah. Syukur ya Allah. Tapi bila tengok kawan-kawan yang lain sambung belajar ke universiti, saya juga teringin. Saya juga hendak belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Permohonan UPU saya hantar, dan kemudiannya satu lagi masalah yang datang. Saya diterima masuk ke UMS. Ya Allah, jauhnya. Keluarga saya tidak mampu. Sekali lagi saya menangis.

Dari sudut hujung bilik, aku terkedu. Terkedu bukan hanya pada ceritanya. Tapi semangatnya, dia cukup kuat. Walaupun setiap tutur kata dia diselang seli dengan esak tangis, namun dia masih bercerita dan bercerita hingga habis. Hinggakan bagi sesiapa yang berada dalam bilik itu rata-ratanya turut mengalirkan air mata. Tersentuh. Hurm. Sungguh, hati manusia itu sangat lembut.

Dan. Walaupun kita sentiasa akrab dengan kisah cerita kita saban hari. Maksud aku, apa yang kita lihat, kita dengar. Dugaan yang diterima kita. Berita gembira. Berita sedih. Ya, semua tentang kita. Cerita aku.

Cumanya, kadang2 buka mata. Lihat rakan-rakan yang lain. Mereka juga ada cerita mereka masing-masing. Dunia ini bukan hanya untuk kita sahaja. Bermasyarakatlah. Kikis sifat anti sosial jauh-jauh. Dan, selamat datang dunia.

p/s : I’m Amie. Umur dah makin meningkat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...