sahabat Senyap

Thursday, October 20, 2011

Rindu

Kali pertama memandu jarak jauh yang memakan masa dalam 8 jam perjalanan memang satu pengalaman yang sangat letih. Tapi, bila hati disogokkan dengan upacara gembira yang akan berlangsung, sedaya upaya dia cuba singkirkan rasa lesu itu dan cuba untuk senyum sepanjang perjalanan.

Dalam kotak kereta, cuma ada Ma, dia dan dua lagi adik. Ma di sebelah tak henti-henti berceloteh. Cuba hendak pastikan dia tidak terlelap ketika memandu. Hingga kadang-kadang apa yang dibutirkan Ma macam masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Adik di tempat duduk belakang ada yang terlelap, ada juga hanya melayan lagu di corong radio yang sesekali menjerit-jerit seorang diri.

Lebih kurang jam 2.34 petang. Dia selamat sampai ke bumi Pantai Timur. Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah, kami selamat sampai ke destinasi tanpa ada apa-apa aral.

Jejak kaki di tempat orang. Suasana lain. Persekitarannya juga lain. Dan paling ketara ialah dialek Pantai Timur yang ditutur oleh jelatanya. Senyum. Kadang-kadang terlintas juga di kotak fikiran dia. Dari mana wujudnya dialek yang berbeza-beza di setiap negeri jika yang penghuninya juga sama-sama Melayu. Tak kisahlah, lagipun itu yang buatkan Malaysia sebuah negara yang unik, semangat muhibah yang tinggi. 1 Malaysia, bak kata Perdana Menteri.

Dia sempat menghabiskan masa selama 4 hari di bumi Kelantan. Melangsungkan majlis pernikahan dan majlis persandingan dua orang sepupu. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Mungkin cerita persandingan mereka akan penulis kisahkan di lain entri. 4 hari. 4 hari yang sangat bermakna. Pengisian yang sangat-sangat menyenangkan.

Dia tahu. Dia akan mula rindukan negeri itu. Suasananya. Persekitarannya. Dan dapat bertutur dalam dialek Pantai Timur tanpa ada orang ketawa juga merupakan satu pengalaman yang sangat dirindu.

Tunggu. Lepas ini dia akan datang semula. Sebab hati macam sudah ditinggalkan di sana.

Saturday, September 24, 2011

Mengeliat

Terjaga dari tidur bila suhu dingin datang hinggap, meratah-ratah ke segenap tubuh. Perlahan-lahan dia meraba selimut yang entah ke mana hilangnya. Sejuk. Bila diri sudah separa sedar, telinga mula menangkap bunyi-bunyi air mencurah-curah ke lantai bumbung rumah. Sekejap-sekejap bunyi guruh berdentum dan diiringi dengan cahaya kilat. Ah, hujan. Spontan, tarikan selimut mula jadi lebih kuat, lebih erat. Menghimpun rasa suam. Nikmat.

Hendak bangun dari tidur yang selesa memang sungguh payah. Lebih-lebih lagi bila tahu pagi itu perlu menghadap satu lagi hari bekerja. Walaupun bunyi jam penggera sudah beberapa kali menjerit, tetapi dia masih culas dalam dakapan selimut suam. Masih betah menyambung mimpi bersama bidadari-bidadari langit. Senyum.

Bangun.

Ketika memandu menuju ke pejabat, angin dari corong penghawa dingin kereta menderu2 memuntahkan suhu sejuk. Cepat-cepat dia sarungkan tubuh dengan baju tebal sebelum mematikan fungsi penghawa dingin. Menggigil. Tangan kiri sedaya upaya mendakap tubuh sambil tangan kanan kejap mengawal stereng. Dongak atas. Lantai langit sudah mula kurang hitam. Terbias dek cahaya matahari muda. Bisik dalam hati. Cantik.

Dari kaca cermin dia dapat lihat ada pelajar lengkap beruniform sekolah sedang termangu2 menunggu bas. Selisih pula dengan bapa membonceng anak-anak ke sekolah. Tidak ada helmet. Lampu motosikal juga ada yang sudah rosak. Hurm, mungkin mereka bukan orang senang. Berfikir yang baik2. Termenung. Dia juga pernah berada di tempat yang sama dahulu. Bangun awal-awal pagi menunggu bas di tepi jalan. Dan pernah juga menunggang motosikal walaupun dalam hujan. Ah. Dulu.

Harapnya hari ini segalanya berjalan dengan lancar. Lebih baik dari semalam.

InsyaAllah. Minta yang sungguh-sungguh.

p/s : I’m Emi. Satu hari yang lain.

Friday, August 12, 2011

Rakan Pena

Dengan pembangunan laman sosial yang kian pesat, barangkali istilah rakan pena akan kedengaran sangat tradisional. Sungguh semalam. Sebab sekarang semuanya pantas, tak perlu hendak tunggu dua ke tiga minggu hanya untuk mendapat jawapan kepada ‘Apa khabar?’.

Tapi, tidak boleh tidak, perasaan menulis surat, menghantar poskad ini kadang2 lebih bermakna daripada menghantar satu khidmat pesanan ringkas atau menghantar komen menerusi Wall muka buku. Lebih teruja.

Dari sekeping kertas putih dan sebatang pena bola jugalah penulis mula kenal rakan-rakan yang sangat hebat. Sebelum aktif menulis blog, hobi penulis suka menulis kepada rakan-rakan baru. Ya, itu dulu. Sekarang tidak lagi. Tapi, syukur sangat disebabkan hobi suka-suka dulu, penulis dapat kenal rakan yang kekal jadi sahabat baik penulis sampai sekarang. Alhamdulillah.

Tapi dalam kalangan rakan pena, ada seorang yang kekal misteri sampai sekarang. Penulis sendiri tidak kenal orangnya, Mula terima surat daripada dia sejak tahun 2007 hingga hari ini. Terus terang, penulis masih berteka teki dari mana dia dapat alamat penulis, dari mana dia tahu panggilan yang kenalan panggil pada penulis waktu kecil. Dan dalam setiap warkah tulisannya, dia akan sertakan sedikit cenderahati yang dibuatnya sendiri. Lihat alamat terakhirnya, Negeri Sembilan. Yang mana buatkan penulis lagi tertanya-tanya. Penulis langsung tiada kenalan di negeri itu.

Biarlah. Dalam ramai-ramai kenalan pena, hanya seorang sahaja yang dapat berpeluang bertemu muka ke muka. Adik angkat penulis sendiri, Ima. Harapnya, ya! Harap yang sungguh-sungguh. Dapat berjumpa dengan yang lain-lain pula, terutamanya yang misteri itu. ^ ^

Hurm. Dia dan sebatang pena bola.

p/s : I’m Ami. Ayik.

Dejavu

Tahun 2006

Tahun ini penulis masih lagi menuntut di sebuah IPT di Penang. Waktu cuti semester, penulis cuba untuk mohon jalankan praktikal di dalam sebuah syarikat swasta, untuk pengisian waktu cuti semester dan dalam masa yang sama, kumpul pengalaman. Alhamdulillah. Penulis diterima. Dan itu kali pertama penulis kenal seorang kenalan ini. Kebetulan penulis ditempatkan dalam satu Jabatan yang sama dengan dia.

Tahun 2008

Tahun ini penulis baru tamat belajar, hantar resume pada syarikat swasta yang sebelum ini penulis jalankan praktikal. Alhamdulillah, kebetulan memang ada kekosongan dan penulis tidak melalui jalan yang susah untuk mula kerja di situ. Dan secara rasminya, penulis dengan kenalan itu jadi rakan sekerja, dan rakan satu Jabatan. Secara jujur, penulis tidak begitu rapat dengan dia, masing-masing buat hal sendiri.

Tahun 2009

Tahun ini penulis ditukarkan Seksyen, mula dapat kepercayaan untuk pegang port folio sendiri. Alhamdulillah, bos banyak beri tunjuk ajar masa ini. Kami dah jadi macam kawan rapat. Tahun ini, penulis dengan rakan itu dah mula makin akrab. Enam bulan berikutnya, penulis dinaikkan pangkat.

Tahun 2011

Tahun ini deskripsi tugas penulis sudah makin besar. Alhamdulillah, sudah diberi pembantu. Minggu ini penulis perlu berhadapan dengan rakan penulis yang satu itu. Berhadapan yang macam mana? Rakan berkenaan telah diberi surat penggantungan kerja dan akan dibicarakan. Pegawai Pendakwanya. Penulis sendiri. Memang berat. Hendak lawan kawan sendiri. Risau juga sekiranya ditakdirkan rakan tadi hilang kerja disebabkan penulis. Dia ada anak, dia ada isteri.

Hurm. Macam dejavu. Sebelum ini juga pernah dapat kes melibatkan kawan sendiri. Tapi sebelum ini penulis masih mentah, lepas kawan itu diberhentikan. Sedar sahaja, mata penulis sudah bengkak-bengkak. Tak boleh terima hakikat.

Harapnya, kali ini penulis akan jadi lebih kuat. Kena lebih tegas.

Ya Allah. Mudah-mudahan.

p/s : I’m Ami. Profesionalisma.

Macam Semalam

Sama seperti hari semalam.

Rutin masih lagi mengetuk-ngetuk papan kekunci macam selalu, sekejap2 siapkan laporan, sekejap2 belek pinda semula SOP yang hendak didaftarkan ISO, sekejap2 mengadap berkajang2 surat rasmi, sekejap2 yang sama. Sama macam semalam.

Jemu? Muak? Entah, lebih suka dari jelik. Mungkin minat menulis yang sudah semulajadi. Tapi tipu kalau kata tidak bosan. Memang secubit rasa itu ada juga melekat. Memang diakui, tidak boleh lari.

Baru terima surat kenaikan gaji. Alhamdulillah, rezeki tahun baru. Pertengahan Ogos atau pertengahan Ramadhan terima duit raya pula. Syukur. Boleh menyimpan lebih sedikit, buat belanja kenduri kahwin. ^ ^

Tapi bila tu, masih kabur lagi. Calon pun on off. Hurm. T T

Pagi tadi semasa menulis Memorandum Pentadbiran untuk edaran dalaman Syarikat bagi kuatkuasa masa kerja waktu bulan Ramadhan, tiba2 rasa macam sekejap sangat masa berlalu. Sekejap yang sungguh2. Sedar2 saja sudah sampai penghujung bulan Julai, esok lusa dah masuk Ogos. Dah mula puasa. Puasa yang lepas pun masih ada berbaki yang belum diganti. Gara2 insiden kemalangan minggu akhir Ramadhan tahun lepas. Alahai. Detik hitam. Kalau boleh tak mahu ingat lagi.

Masa menulis entri ni, terfikir juga. Masih ada lagi ke yang baca blog Silent Melody ni. Haha. Entah. Sudah lama sangat tidak aktif, masa senggang tu dah sangat2 singkat. Tapi yang pasti aku masih lagi macam dulu. Akan sentiasa menitipkan entri jika ada masa terluang. Masih sama macam hari-hari yang semalam.

Masih lagi Mr Silent.

p/s : I’m Ami. Terus menulis. Always.

Thursday, July 14, 2011

Selamat Datang Dunia

Saya bukan orang senang. Saya datang dari keluarga susah, masa kecil-kecil dahulu kena tebalkan muka bila pergi sekolah, sebab apa? Duit belanja tidak ada. Bila rakan sekelas berpusu ke kantin bila loceng rehat berbunyi, saya ikat perut dalam kelas. Memang lapar, tapi hendak makan duit tidak ada.

Jadi nak tak nak saya kena bawa nasi lemak datang sekolah yang mak buatkan. Nasi lemak itu saya jual pada kawan-kawan, duit hasil jualan nasi lemak berkenaan boleh juga buat belanja untuk adik-adik.

Malu? Ya, saya memang sangat malu. Ada kawan-kawan lelaki yang suka usik saya. sakat saya. Tiap-tiap hari mereka kata saya bau busuk, hari-hari badan bau nasi lemak. Apa yang saya buat waktu tu? Saya hanya mampu menangis dan menangis. Nak buat macam mana, kalau saya tak bawa nasi lemak, duit saya tidak ada, mak ayah saya orang susah.

Tetapi bila sampai satu hari, Pengetua keluarkan arahan tidak benarkan murid-murid berniaga waktu sekolah, saya menangis lagi waktu itu. Kalau tak bawa nasi lemak, macam mana saya nak dapat duit? Ayah saya sakit, mak pula tak bekerja, cuma mampu buat nasi lemak dengan kuih sahaja tiap-tiap hari. Itu sahaja sumber pendapatan kami sekeluarga.

Alhamdulillah, walau dengan susah payah, penuh jerih. Saya akhirnya tamat sekolah menengah. Syukur ya Allah. Tapi bila tengok kawan-kawan yang lain sambung belajar ke universiti, saya juga teringin. Saya juga hendak belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Permohonan UPU saya hantar, dan kemudiannya satu lagi masalah yang datang. Saya diterima masuk ke UMS. Ya Allah, jauhnya. Keluarga saya tidak mampu. Sekali lagi saya menangis.

Dari sudut hujung bilik, aku terkedu. Terkedu bukan hanya pada ceritanya. Tapi semangatnya, dia cukup kuat. Walaupun setiap tutur kata dia diselang seli dengan esak tangis, namun dia masih bercerita dan bercerita hingga habis. Hinggakan bagi sesiapa yang berada dalam bilik itu rata-ratanya turut mengalirkan air mata. Tersentuh. Hurm. Sungguh, hati manusia itu sangat lembut.

Dan. Walaupun kita sentiasa akrab dengan kisah cerita kita saban hari. Maksud aku, apa yang kita lihat, kita dengar. Dugaan yang diterima kita. Berita gembira. Berita sedih. Ya, semua tentang kita. Cerita aku.

Cumanya, kadang2 buka mata. Lihat rakan-rakan yang lain. Mereka juga ada cerita mereka masing-masing. Dunia ini bukan hanya untuk kita sahaja. Bermasyarakatlah. Kikis sifat anti sosial jauh-jauh. Dan, selamat datang dunia.

p/s : I’m Amie. Umur dah makin meningkat.

Wednesday, July 06, 2011

Tutup Kes

Alhamdulillah.

Usai siapkan laporan lima muka surat, Simpan sebagai format PDF. Tutup fail. Selesai satu lagi kes. Hirup nafas lega.

Hurm. Lega ke? Entah la.

Belek2 dokumen atas tray. Ada kes conformance, gangguan seksual, curi barang, kilanan, absent, kedatangan, pemalsuan dokumen, kecuaian yang sudah dulu tutup kes. Cuma tinggal untuk direkodkan dan disimpan di dalam fail. Hujung bulan semua kes ini akan dibentangkan ke pihak pengurusan.

Dalam banyak2 kes, cuma satu kes ini sahaja yang buatkan saya rasa berbelah bahagi. Tidak tahu hendak jadi serius atau sarkastik. Tapi atas nama tugas, siasatan dalaman tetap juga diteruskan. Rumit hendak diulaskan, pendek kata memang benar pepatah melayu kita ada menyebut yang ‘cinta itu buta’.

Saya dibantu seorang rakan, diteman oleh seorang Pegawai Polis ketika mengambil keterangan daripada beberapa warga kerja yang terlibat disamping Tertuduh. Apa yang saya boleh gambarkan, Tertuduh seorang yang agak lurus bendul dan mudah terpengaruh. Kesalahan yang dilakukan ialah membawa senjata merbahaya dan cubaan untuk mengugut atau berbaur ancaman.

Puncanya? Cemburu buta. Berebutkan janda yang berumur 45 tahun. Oh ya, terlupa. Tertuduh hanya berumur 28 tahun. Yup. Betul.

Sepanjang siasatan dalaman, saya tidak terlampau tertekan. Sebab, kes ini mudah. Tidak rumit hendak jadikan prima fasie. Cuma hujah perlu betul2 kukuh untuk yakinkan Panel Perbicaraan Dalaman. Dan alhamdulillah, kes ini menang. Tertuduh didapati bersalah di atas tuduhan yang dikenakan.

Sepatutnya saya boleh tarik nafas lega. Ya, sepatutnya. Tapi, entah la.

Kadang2 terfikir, saya tidak kenal pun dia. Dia pun tidak kenal saya. Malah sepanjang perkenalan, dia nampak agak baik. Cuma tindakan dia yang didorong oleh pendek akal yang perangkapkan dia dalam situasi itu. Dan dia sangat2 menyesal.

Tapi. Kerja saya banyak dikaitkan dengan polisi2, kod etika, bukti2, dan semua2 itu boleh menjurus kepada penamatan perkhidmatan.

Pejam mata. Hurm. Kita ada undang2. Yup, keputusan sudah dibuat. Tidak perlu difikir2kan lagi. Tutup kes.

p/s : I’m Amiey. Sneak in my daily routine as Industrial Relations Officer.

Masih Menulis

‘Zam, kenapa kosong blog? Dah berhenti menulis ke?

Erm. Antara soalan biasa yang diterima dari kenalan rapat. Ketuk-ketuk kepala. Berhenti menulis? Pernah ke. Entah. Tidak pernah rasanya.

Blog. Mungkin sudah berhenti. Atau sekadar berehat sementara. ^ ^

Ah. Tapi ada ke yang peduli. Haha.

Buat kenalan yang bertanya. Saya tidak pernah berhenti menulis. Cuma tulisan saya sekarang lebih banyak menjurus kepada kertas-kertas kerja, memorandum, surat-surat rasmi, iklan-iklan, polisi-polisi dan sekarang sedang giat menyediakan laporan-laporan dan buku manual yang mana penerimanya adalah warga kerja di tempat saya berkhidmat. Betul, saya sudah tulis buku.

Ya. hidup saya sekarang lebih kepada kerja. Tugasan makin bertambah, tanggungjawab makin berat. Sehingga kadang-kadang kesihatan sendiri terabai. Dan dalam sibuk itu, ada juga hati yang terguris. Hurm, tiada siapa yang sempurna kan? Ah, itu cerita lain.

My point is. Writing is what I love to do the most. Tidak kisah macam mana jenis tulisan, sebab menulis adalah benda yang saya suka. Dan buat apa perlu berhenti dari buat benda yang kita suka. Yang kita sayang. Yang kita selesa. Kan? Peace dari Senyap.

Ah, rindu untuk tulis ‘trademark’ ni lagi. ^^

p/s : I’m Ami. Mungkin sudah tidak senyap lagi.

Monday, June 27, 2011

Sumber Manusia

Awal pagi. CEO sempat berikan taklimat pendek pada HR Team. Sempat juga aku menyiku bahu seorang rakan. Ah, mesti timbul masalah ni. Kalau tidak, mana pernah dia join taklimat pagi HR. Dan ya. telahan yang tepat. Dan tegurannya ada buatkan beberapa muka yang berubah kelat. Mungkin terkena atas hidung sendiri. Entah, malas hendak ulas lanjut.

Usai taklimat, aku terus ke cubicle seperti biasa. Cuma tidak sangka, kesan taklimat pagi sebentar tadi turut melibatkan aku. Tapi aku tahu, penglibatan aku hanya untuk ‘melindungi’ kesilapan seorang dua dalam HR Team.

11.30 pagi. Enjin kereta dihidupkan. Aku ditemani oleh seorang rakan menghantar seorang staff yang dimaksudkan di dalam taklimat pagi tadi. Umurnya sudah mencecah 55 tahun. Hujung tahun ini jika dirujuk dengan polisi Syarikat, si polan ini akan bersara. Cuma masalah kesihatan yang dihidapinya mungkin telah terlepas pandang oleh Penyelianya.

Melihatkan keadaan kesihatan dia, aku sukarela menghantarnya ke Hospital Pakar Metro berjumpa dengan Pakar Psikatri. Lagipun sudah dalam Deskripsi Kerja aku, mengendalikan bahagian Employee Relations. Menjaga kebajikan pekerja. Pening juga semasa dalam perjalanan ke Hospital. Sebabnya si polan ini tiba2 ‘buat hal’. Berpura2 seperti di rasuk hantu di tempat duduk belakang kereta. Risau juga, mahunya dia tangkap tengkuk aku yang sedang memandu. Tak ke haru?

Cuma baru-baru ini, khabar kesihatannya sudah semakin melarat. Si polan ini macam hilang ingatan. Lupa jalan balik ke rumah. Lupa apa yang dibuatnya. Dan sekarang sudah lupa kawan-kawan. Sudah tidak ingat sesiapa. Simpati.

Hanya doa yang boleh dihadiahkan untuk dia. Semoga sembuh seperti biasa. Sempat juga aku rujuk kes ini kepada SOCSO, mana tahu boleh mohon skim e-lat. Tapi sayang, usianya sudah lebih dari tahun sara. Ah, buntu nak bantu macam mana.

Mungkin aku perlu review dan revise balik skim persaraan Syarikat. Hurm. Kerja lagi.

p/s : I’m Amiey. saya staff Sumber Manusia. Human Resource.

Yes Man

Lena terganggu bila dikejutkan dengan vibrate telefon bimbit yang disetkan sebagai alarm clock. Gengeh2kan mata. Ah, jam 5.50 pagi. Sudah menjadi kebiasaan, bagi mengelakkan terlajak tidur, telefon bimbit tadi dimasukkan di dalam baju sebelum tidur. ^^

Jam 6.40 pagi. Sudah mula bergegas ke kereta. Hidupkan enjin, biar suam sebelum bergerak. Radio saluran 88.20 kemudiannya dipasang. Senyum. Tercuit dengan teletah deejay2 yang menjalankan tugas. Sudah masuk dua bulan aku tidak sentuh motosikal. Entah la, pengalaman terlibat dengan kemalangan yang nyaris meragut nyawa sebelum ini dah buatkan aku trauma. Rasa cuak.Sekarang, jika hendak ke mana2. Aku lebih selesa memandu kereta.Keselamatan diri itu nombor satu.

Jam 7.00 pagi. Masih dalam perjalanan ke ofis. Terganggu sedikit tumpuan di jalan raya bila Sony Ericsson aku bingit dengan nada dering Mike Posner berbunyi.

“Zam. Nak tumpang, ambil akak kat simpang jalan ye. Akak tau zam dah on the way” Jawab si pemanggil.

“Okey.” Hurm.

Masa pejabat.

“Zam, aku nak mintak bantuan hang ni. Macam mana nak buat report”

“Okey, hang nanti sat” Erm. Kawan yang minta. Tak pe la.

“Encik Zam, macam mana dengan permohonan saya. Boleh diluluskan tak”

“Okey, rasanya tak dak masalah. Saya cuba usahakan” Eh, permohonan yang mana. Banyak sangat atas meja ni.

“Zam, minta tolong temankan masuk Production”

“Okey, tunggu kejap ye” Ah, ada keja nak kena settle ni.

“Zam, macam mana dengan usul saya sebelum ini. Saya sudah emel”

“Okey rasanya. But, saya nak telitikan dulu sebelum buat keputusan” Alamak, tak bukak pun lagi emel dia.

“Zam, Encik A cuti ni. Macam mana. Minta tolong gantikan. Please2”

“Okey, tunggu kat bilik meeting. Kejap lagi sampai” Oh tidak, jadi bidan terjun lagi.

“Zam, balik kerja nanti. Minta temankan beli barang”

“Okey.” Alahai, macam ni la kalau kawan perempuan lebih ramai dari kawan lelaki.

“Zam, jom teman makan”

“Okey” Erm, dah makan dah tadi.

“Zam, aku ada masalah ni. Hang ada masa tak”

“Okey, tengahari ni jumpa kat bilik Discussion” Aku pun ada masalah.

Okey. Okey. Okey. Okey. Arrghh. T T Hurm. Itu aku dalam rutin harian. Mungkin benar telahan seorang rakan. Dan teguran dia banyak memberi kesan pada diri aku hingga sekarang.

‘Jangan terlalu jadi YES MAN. Kadang-kadang kita kena belajar untuk says NO’

p/s : I’m Emiey. Bukan mudah untuk puaskan semua pihak.

Apa Khabar Orang Senyap

Apa khabar blog saya. Catatan diari kita. Hurm. Apa khabar dunia saya yang dulu. Sudah lama, ya sudah agak lama rumah kita dibiarkan bersawang. Kosong tanpa diisi dengan titip-titip aksara yang baru. Lesu tanpa apa-apa cerita terkini. Dan apa khabar pula dunia kita sekarang?

Penuh dengan warna pelangi selepas hujan?
Atau sarat dengan senyum girang?
Mungkin juga sendat dengan warna lukisan awan yang indah-indah?

Haha. Ah, tak mungkin. Mana mungkin.

Cerita kerjaya? Alhamdulillah, kerja sentiasa ada. Syukur! Mencurah macam hujan petang. Sehingga tidak terdaya hendak menepis tempias2 stress dan sakit pening kepala. Mata juga sudah mula biru lebam akibat terlampau berdepan dengan kertas-kertas kerja dan menatap dada komputer.

Apa lagi? Oh ya, kita juga sudah bergelar ‘trainer’. Tiga sesi Kursus sudah selesai, insyaAllah dua lagi sesi akan menyusul. Kes salahlaku? Bulan Mei dan Jun sahaja lebih kurang 23 kes berjaya diselesaikan. Bulan sudah sempat ke Mahkamah Majistret. Minggu ini satu Perbicaraan Dalaman pula menanti kita sebagai Pegawai Pendakwa. Alhamdulillah. Segalanya berjalan lancar. Terima kasih ya Allah.

Cuma. Dengan lambakan-lambakan tugas banyak buatkan kita lesu. Letih mental letih fizikal. Mujur ada Mr S dan Mr T sebagai pembantu.

Cerita peribadi? Ah. Tiada siapa yang peduli. Cuma apa yang kita dapat luahkan. Mungkin jodoh tidak panjang. Emosi sangat letih. Kadang-kadang jika diikutkan hati dan akal yang pendek. Mahu sahaja kita menjerit. Menjerit biar hati puas. Biar hati lega. Biar hati ini rasa tenang.

Berbalik kepada soalan awal tadi. Apa khabar dunia kita sekarang? Hurm. Tiada apa yang istimewa. Seperti hari manusia-manusia yang lain. Sentiasa melekat dengan masalah. Tapi yang bezanya cuma cara mana kita berhadapan dan cara mana kita mengatasinya. Perlu ingat, kita sentiasa ada Teman yang sentiasa dekat dengan kita walau apa situasi yang kita alami.

Kita sujud pada Mu Ya Allah.

p/s : I’m Emiey. Letih mental. Letih fizikal. Letih emosi.

Thursday, April 07, 2011

Suatu Ketika

Terasa muda semula bila menatap gambar di atas. Ketika masih mengenakan uniform sekolah. Penulis berada di barisan belakang paling kiri. Ya, ketika itu rambut disisir tengah. Skema kan? Dan, ketika ini penulis masih kurus! Haha. Sekarang bukannya gemuk, cuma kurang kurus.


Sudah berapa tahun ya? Ah, 8 tahun. 8 tahun. Bukan sedikit masa. Lagi 2 tahun genap satu dekad. Tapi bila menatap gambar ini, terasa seperti semalam penulis dan rakan sama-sama menuntut ilmu di Sek Men Teknik Jalan Stadium. Sama-sama bergelak ketawa di dalam Aspura. Sama-sama menghuni Dorm 7A bagi pelajar Kejuteraan Mekanikal. Sungguh, masa-masa yang semalam itu dirasakan sangat-sangat manis.


Sebagai penghuni asrama, tidak dapat tidak. Akan terkenang wajah-wajah warden aspura. Terbayang dengan libasan-libasan rotan mereka. Cadar jika tidak ditarik cekang, rotan. Tidur dalam waktu study di dalam dewan, rotan. Ada plastik coklat di kawasan asrama, rotan. Rakan kantoi ‘fly’, semua kena rotan. Pendek kata, walaupun bukan salah penulis, jika seorang yang buat kesalahan. Hukumannya semua kena rotan. Dan, dengan rotan itulah, penulis jadi ‘orang’.


Bila meneliti seorang demi seorang, spontan senyum penulis terukir. Senyum gembira. Ada di antara mereka sudah mendirikan rumah tangga. Dan ada juga yang sudah berstatus ibu dan bapa. Syukur alhamdulillah. Tak kurang juga ada yang sudah pegang jawatan yang boleh tahan tinggi, dan yang lainnya sudah di tahun akhir Ijazah Sarjana Muda. Masing-masing dah ‘menjadi’.


Suatu ketika yang pernah jadi catatan diari. Suatu ketika yang manis. Suatu ketika yang sentiasa melekat kejab dalam memori. Suatu ketika yang sangat dirindui. Suatu ketika yang semalam.


p/s : I’m Emi. Ada nickname keramat waktu di asrama.

Pain Killer Is My Dearest Friend Now

Lama juga termenung. Memandang setiap genap inci bilik, mengira saat demi minit hingga menjadi jam, dan kemudiannya muncul lagi satu hari yang baru. Hurmm, sekali lagi mengeluh panjang. Sudah masuk hari yang kesepuluh. Ya, sudah sepuluh hari berkeadaan begini. Masih terlantar.


Tak tahu hendak dimula dari mana. Lama sungguh tinggalkan blog. Hingga bila kembali mentitipkan jari menekan aksara-aksara di dada papan kekunci komputer riba pun sudah rasa janggal yang sungguh-sungguh. Bukannya janggal yang bagaimana, Cuma untuk menceritakan satu lagi entri seperti agak berkarat. Heh. Senyum sedikit.


Oh ya, termasuk yang ini. Sudah tiga kali terlibat dengan kemalangan jalan raya. Eh, empat kali. Yang awal, ketika sekolah rendah. Cuma tiga kali yang ini sahaja baru-baru ini. Apa yang boleh digambarkan, hanya teruk. Kali ini paling teruk. Sebabnya sebelum2 ini walaupun kena langgar, masih lagi boleh berdiri mengaduh sakit. Tapi giliran kali ini, langsung tidak sedarkan diri. Pengsan. Separa mati. Sedar2 sahaja sudah di katil hospital.


Tapi, walaupun terlantar. Meskipun perlu menahan sakit. Aku seharusnya bersyukur yang sangat-sangat kepada Nya, syukur kerna masih diberi peluang untuk masih bernafas seperti sekarang. Syukur, alhamdulillah. Terima kasih Tuhan. Terima kasih.


Dan terima kasih juga kerana dibukakan mata untuk mengenal siapa kawan dan siapa kenalan. Sungguh, kawan yang sebenar akan muncul bila kita di dalam kesusahan. Bukan hanya ada bila waktu kita senang sahaja. Untuk kawan-kawan yang berikan semangat, untuk kawan-kawan yang ada, aku hargai sangat-sangat. Kamu sahabat yang baik.


p/s : I’m Amie. Sudah beransur sembuh.

Friday, March 11, 2011

Singgah

Jenguk sekejap di sini. Intai2 teman rapat yang dulu. Teman yang sebelumnya sering jadi tempat untuk bercerita itu dan ini. Luahkan segala yang tersirat dalam fikiran, yang terbenak dalam emosi. Tapi sekarang?

Ah, sungguh sudah lama aku tidak singgah.

Mungkin ketidakhadiran ini akan diberi alasan2 klise seperti makin sibuk dengan komitmen kerja, makin kurang masa untuk untuk diri sendiri. Ya, masa lebihan yang ada aku rasakan sangat2 bernilai dan lebih selesa diluangkan untuk ruang rehat. Tapi bila difikir fikirkan, jika diri betah untuk disiplinkan diri. InsyaAllah, masa itu boleh dibuat. Tapi malangnya, tidak.

Sebut tentang masa ini, sungguh aku rasakan masa berjalan dengan amat pantas. Setiap hari ada sahaja aktiviti yang hendak dibuat. Dan makin hari makin masa itu mengubah diri sedikit demi sedikit. Menjadi semakin matang dan tanggungjawab juga makin hari makin berat.

Hurm, itu fenomena biasa. Perihal yang sama akan terjadi kepada orang lain bilamana nombor usia makin bertambah.

Diam sekejap.

Senyap.

Friday, February 18, 2011

Cukup Kecewa Dengan Diri

Bila ada masalah, kebiasaannya kita akan cuba untuk cari seseorang yang kita percaya untuk luahkan segala yang terbuku. Mungkin dengan cara itu, paling tidak sedikit pun beban yang ditanggung akan lega sedikit dengan izinNya.

Dan jika seseorang itu datang kepada kita, jadikan tempat baginya untuk lepaskan segala kekusutan, asakan. Untuk capaikan ketenangan, apa yang boleh kita buat hanya menjadi pendengar yang baik. Berhati2 dengan jawapan yang diberikan, mungkin seseorang itu akan terasa, sebabnya dalam masa ini jiwanya sendiri sudah sangat berserabut. Jadi, jangan tambahkan lagi sesak dia. Cuba bantu untuk dia bernafas semula.

Bagi situasi ini. Datang seorang teman, masalahnya bagi aku cukup2 berat. Kecewa dengan apa yang terjadi, teman berkenaan sudah mula kurang yakin dengan Tuhan. Cukup jika aku hanya ringkaskan, beliau mula terlibat dengan seks sesama jantina dan sudahpun terlanjur.

Bila datangnya kes seperti ini, apa yang boleh direaksikan? Tak boleh marah. Tapi sempat juga aku tertengking. Minta maaf. Cuma akal tidak boleh menerima. Dan ilmu juga perlu cukup untuk menasihatkan orang. Itu juga aku cukup kecewa, sebab dalam diri ini. Ilmu sangat2 lagi cetek.

Dan untuk situasi yang lain. Datang seorang kenalan. Perempuan. Masih lagi belasan tahun. Jika ditafsir dari raut muka memang jelas si dia punya masalah. Dan ya, telahan aku mengiyakan bilamana si dia memaklumkan dia dirogol oleh teman lelaki.

Terkedu. Sekali lagi.

Ya Allah.

Sekali lagi aku mengutuk diri sendiri. Masih banyak yang perlu aku belajar. Dan pada sesiapun pun, ilmu itu sangat penting. Itu yang membezakan segala tindak tanduk bila kita temui jalan buntu. Peace dari Senyap.

p/s : I’m Ami. Sekadar ingin berkongsi.

Sunday, February 13, 2011

Sini Ada Hantu

Sini Ada Hantu bermula apabila dua orang pemandu van, Ah Meng dan Bakri yang telah ditugaskan pada saat akhir menghantar mayat datuk kepada majikan mereka di sebuah kampung di mana mereka perlu sampai ke destinasi keesokan paginya. Pada mulanya mereka menolak tapi apabila ditawarkan dengan upah yang lumayan mereka bersetuju.

Semasa dalam perjalanan, radio van tidak berfungsi bagi menghilangkan kebosanan dan rasa mengantuk, mereka berdua bercerita tentang kisah seram yang pernah mereka dengar. Bakri memulakan kisahnya ‘Hantu Pokok Pisang’… kisah wanita cantik yang menjelma dari pokok pisang.

Ah Meng mentertawakan Bakri dan mengatakan hantu melayu tak logik, Ah Meng mula menceritakan kehebatan hantu Cina pula iaitu ‘Hantu Nombor Ekor’ di mana kisah empat lelaki yang mengalami masalah kewangan lalu memuja roh untuk memberikan pertolongan dengan memberi nombor ekor.

Apabila Ah Meng habis bercerita, Bakri memberitahu Ah Meng cerita hantu cina lagi tak logik. Bakri memberitahu Ah Meng yang dia mempunyai cerita lain, tapi kali ini cerita ini mengisahkan hantu dari luar negera. Ah Meng mula bercerita tentang seorang pelajar, Yakob yang dipindahkan ke sekolah baru kerana masalah disiplin.

Yakob kemudian mendapati mereka semua takut pergi ke tandas di waktu malam kerana dipercayai tempat tersebut pernah dijadikan pangkalan tentera Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua. Jelmaan hantu Jepun sering berkeliaran pada waktu malam.

Ketika Ah Meng ingin menceritakan kisah hantu yang lain, van mereka yang melalui ladang kelapa sawit yang gelap-gelita itu tiba-tiba rosak. Ah Meng terpaksa mencari bantuan, sementara Bakri menunggu keranda tersebut. Apabila Ah Meng kembali ke van tanpa bantuan yang sepatutnya, sesuatu telah berlaku...

Apa yang terjadi pada Ah Meng dan Bakri? Berjayakah mereka menyelesaikan tugas mereka? Jangan ketinggalan menonton Sini Ada Hantu yang ditayangkan pawagam berdekatan anda. Heh.
p/s : I'm Amiey. Sesuai untuk hiburan.

Saturday, February 12, 2011

Cinta Asli

“Jika kecintaan seseorang yang jatuh hati kepada Laila dan Salma mampu merampas hati dan akalnya, maka apakah yang akan dilakukan oleh seseorang yang amat mendalam rasa rindunya kepada Zat Yang Maha Mengetahui lagi Maha Tinggi.”

Cerita cinta terkenal Majnun terhadap Laila, menunjukkan bahawa Majnun akhirnya dibunuh oleh cintanya kepada Laila; Qarun dibunuh oleh cintanya kepada harta benda, Firaun dibunuh oleh cintanya kepada kedudukan, tetapi Hamzah, Ja’far dan Hanzalah mati kerana cintanya kepada Allah dan RasulNya.

Renung kembali. Alangkah jauhnya jarak yang memisahkan antara kedua kelompok manusia ini.

Oleh itu. Pesanlah kepada diri. Jadikan diri sebagai wali dan kekasih Allah agar kebahagiaan itu dapat dan mudah untuk kita capai, untuk kita gapai. Sungguh, orang yang paling berbahagia adalah orang yang menjadikan tujuan utamanya dan sasaran utamanya adalah mencintai Allah. Semata-mata.

Cinta duniawi hanya bersifat sekejap, walaupun manis, sungguhpun seronok. Tapi ia sekadar sementara cuma. Hanya cinta pada yang Maha Mengasihi, kasih pada yang Maha Mengcintai. Itu cinta yang benar2 sejati. Itu cinta asli. Subhanallah.

p/s : I’m Emi. Sedang bercinta.

Friday, February 11, 2011

Monsun Alam

Cuba fikirkan fenomena alam. Bila diamati, alam punya dua suasana iaitu tebing siang dan tebing malam. Siang itu cerah. Malam itu gelap. Dalam fenomena di pantai, ada masa air pasang dan ada ketika berlaku air surut. Tidak pernah terjadi air pasang tanpa air surut.

Sekarang, cuba fikirkan diri kita sendiri pula. Ada manusia yang baik daripada segi sikap, tabiat, akhlak dan pegangan agama. Ada juga manusia yang berperangai buruk, jahat dan lemah pegangan agamanya. Ada orang yang miskin dan ada orang yang kaya. Ada pula orang yang kuat sehingga dapat mengangkat batu yang besar dan ada pula orang yang lemah sehingga tidak mampu mengangkat barang ringan sekalipun.

Sebab itu, roda hidup kita berkisar antara dua perkara yang sering kali berlawanan. Selepas ini pun ada kehidupan di syurga dan neraka.

Sebagai manusia, roda hidup kita terus berputar.

Ketika kita kaya, kita berjumpa dengan orang miskin sekeliling kita. Apabila kita miskin, kita bertemu dengan orang kaya.
Ketika kita muda, kita bertemu dengan orang tua.

Itulah fenomena alam yang pasti ditemui oleh kita. Apabila kita faham keadaan alam ini, maka banyak yang dapat kita pelajari daripada alam. Orang miskin, masih dapat menjadi kaya. Orang sihat, masih dapat jatuh sakit. Alam ciptaan Tuhan ini menyebabkan kita sedar siapa diri kita dan apa yang wajar kita lakukan bagi kebaikan kita.

Apabila kita tahu Tuhan mencipta segala fenomena secara berlawanan, apakah kita berubah apabila fenomena di sekeliling kita berubah? Tuhan itu wujud dan tetap wujud.

Oleh kerana itu, selaku sebahagian daripada alam, kita mesti akur pada perubahan. Ada waktu kita terpaksa duduk, merenung diri sendiri, ataupun tidur menjalani cubaan sakit. Kita akan sentiasa kuat apabila mengingati Tuhan dalam semua keadaan. Peace dari Senyap.

p/s : I’m Amie. Aku lemah, aku tak kuat dan kadang2 aku jatuh.

Wednesday, January 26, 2011

1001 Solusi

Senyum.

Cari mood ceria sebelum mula menulis. Sebab sentiasa gembira itu penting untuk kekalkan tahap kawalan emosi seperti yang aku mahu. Lari dari segala kusut masai sekeliling yang kadang2 buatkan aku hilang. Tenggelam dek sibuknya tuntutan dunia.

Alhamdulillah. Baru sahaja siapkan proposal untuk budget bagi tahun kewangan 2011/2012. Sekarang hanya mahu meletakkan fokus pada kertas kerja Kolektif Perjanjian yang ke empat. Kolektif Perjanjian ini boleh disamakan seperti satu perjanjian yang merangkumi faedah yang diberikan majikan kepada pekerja bukan eksekutif. Atau yang lebih tepat untuk ahli Kesatuan Sekerja.

Jika ada yang maklum. Pekerja dibahagikan kepada dua kumpulan, manual dan bukan manual. Ada yang dilindungi oleh Akta Kerja dan ada yang tidak. Aku rasa semua perlu arif tentang Akta Kerja bila mula melangkah ke alam pekerjaan. Bila kita tahu, kita belajar. Sekurang2nya kita maklum apa hak kita sebagai pekerja.

Baru2 ini ada menerima panggilan daripada peguam. Kes kemalangan aku sebelum ini menang. Sudah boleh tuntut cek di pejabat guaman Alor Star, pampasan atas kecederaan sebelum ini. Alhamdulillah, rezeki tahun baru.

Tahun 2011. Mungkin akan jadi tahun untuk lebih mengorak langkah. Perasan gambar di atas? Sekarang dalam merangka sebuah blog baru. Yang mana akan fokuskan kepada bidang perniagaan yang aku cebur. Dan ruang untuk yang lain sama2 ambil faedah. Cuma atas sebab kekangan masa, blog tu tergendala sekejap.

1001 Solusi. Antara pengisian ;

Peluang pekerjaan. Mungkin sebab penulis salah seorang staff Sumber Manusia.

Ruang promosi harga runtuh. Bagi peminat motosikal jenis kapcai, penulis boleh tawarkan harga serendah RM 200 untuk sebuah motosikal.

Bagi kaki internet, chatting, pelajar, ada pakej lengkap semurah RM 200 untuk segala2nya yang anda mahu. On top of that, u can make money.

Lain-lain. Consultant. Agent. IKS yang diusahakan penulis dan rangkaian perniagaan rakan; contohnya macam design grafik, kristal, perladangan, dll.

Do support. Dan moga hari esok akan lebih indah dari hari ini. Syukur.

Friday, January 21, 2011

Luna Alam

Pernahkan kamu, ketika berada di tepi pantai, merenung jauh pada lautan yang tidak bertepi? Ataupun ketika mendaki gunung yang tinggi, ataupun berada di pinggir sawah padi yang menghijau luas, kamu memikirkan mengenai alam ini? Berfikir mengenai kecantikan alam, keunikan, keharmonian dan kedamaiannya?

Perhatikan juga pada warna2 alam yang bercampur2 antara hijau, kuning, biru, merah, kelabu dan hitam yang pendek kata, dengan bermacam2 yang cukup mempersonakan.

Pernahkah juga terlintas di fikiran kamu, bagaimana insan yang asalnya dilahirkan sepanjang 6 inci dan buta huruf tetapi kini sudah boleh menulis, membaca dan mengira? Dengan kebolehan yang itu, kamu berupaya membina bangunan yang tinggi2, gedung2 yang indah dan kota2 yang besar. Tentu rasanya kamu pernah memikirkan perkara2 yang disebutkan ini. Maknanya, kamu adalah makhluk ciptaan Tuhan yang cukup istimewa.

Manusia adalah satu2nya makhluk Tuhan yang berupaya menyimpan dan mengembangkan ilmu pengetahuan. Jika ilmu itu membolehkan kita merenung alam dan mengambil iktibar darinya, tentulah para guru juga sama pentingnya dengan lakaran alam maya yang kita saksikan ini. Sebab itu, Islam meletakkan taraf guru lebih tinggi daripada orang lain.

Namun amat malang jika kita kadang2 bersua dengan guru sendiri, tetapi menjauhkan diri. Malu untuk menyapa guru. Malu memberitahu kita adalah anak muridnya. Malah kadang2 malu itu muncul kerana kita sudah berjawatan tinggi, sedang guru itu sudah pencen, masih menggunakan kereta lama, kurus, sakit yang rasanya tidak layak disapa lagi.

Tetapi kita perlu bertanya kepada diri sendiri, jika bukan atas usaha guru itu, di mana kita pada ketika ini?

p/s : I’m Emiey. Terima kasih cikgu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...